Pada Rabu 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan minyak diesel sebanyak RM 1.00 mulai 5 Jun 2008. Mengikut beliau, kenaikan ini tidak dapat dielakkan disebabkan kenaikan harga minyak mentah sedunia yang kini telah melebihi USD 135 setong dan dijangkakan mencapai tahap USD 150 setong dalam beberapa minggu akan datang. Beliau juga mengumumkan kenaikan tarif elektrik di seluruh negara pada bulan Julai nanti.
Beberapa hari kemudian, Perdana Menteri Malaysia sekali telah mengumumkan beberapa langkah utama untuk mengurangkan beban rakyat disebabkan kenaikan bahan api ini seperti pengurangan kadar cukai jalan dan rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian yang memperbaharui cukai jalan.
Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang apa yang kerajaan Malaysia boleh lakukan untuk mengurangkan bebanan rakyat kerana ianya telah banyak ditulis dan dibincangkan oleh ahli politik, ahli ekonomi, sarjana dan para blogger yang lain di alam maya ini. Cuma setakat ini, saya tidak menemui dan membaca mana-mana ulasan yang berkaitan dengan kesan kenaikan minyak secara tidak langsung kepada salah satu golongan yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kenderaan sendiri iaitu golongan pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah serta di institusi-institusi pengajian tinggi.
Golongan pelajar adalah salah satu golongan rakyat yang terbesar di Malaysia yang terdiri dari golongan pelajar-pelajar sekolah yang mula memasuki darjah satu pada umur 7 tahun dan tamat tingkatan lima pada umur 17 tahun atau tingkatan enam pada umur 20 tahun. Seterusnya, mereka akan meneruskan pengajian di peringkat tinggi iaitu untuk mengikuti kursus sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah di universiti-universiti.
Lazimnya, tiada bantuan atau biasiswa diberikan kepada para pelajar sekolah rendah manakala terdapat beberapa jenis biasiswa diberikan kepada para pelajar sekolah menengah. Di peringkat universiti pula, biasiswa, bantuan dan pinjaman daripada pihak awam, badan berkanun dan pihak swasta diberikan kepada mereka yang layak menerimanya. Pihak yang memberikan pinjaman yang utama ialah Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).
Memandangkan kenaikan minyak ini akan memberikan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada para pelajar seperti kos pengangkutan dari rumah ke sekolah bagi yang tinggal di rumah dan kos sara hidup yang meliputi penginapan dan makanan bagi yang menginap di asrama, wajarlah sekiranya pihak kerajaan turut memberikan bantuan kepada golongan pelajar yang terbabit ini seperti menambahkan bilangan dan amaun biasiswa kepada para pelajar. Tetapi memandangkan terdapat ratusan ribu para pelajar di seluruh negara, rasanya mungkin kerajaan tidak mampu untuk memberikan biasiswa kepada semua pelajar.
Jika selama ini, pihak ibu bapa mampu untuk menanggung pendidikan anak-anak mereka, adakah ibu bapa mereka masih lagi mampu untuk menanggung mereka selepas kenaikan minyak ini? Dengan kenaikan harga bahan api ini, Kesan Domino akan menyebabkan kenaikan harga-harga barang dan perkhidmatan di seluruh negara. Mungkin jika ibu bapa mempunyai seorang atau dua orang anak yang bersekolah, mereka masih mampu menyerap beban itu. Bagaimana pula jika mereka masih mempunyai 4, 5 atau lebih anak-anak yang masih bersekolah?
Untuk mengurangkan bebanan kepada ibu bapa yang masih lagi mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, saya ingin mengutarakan beberapa cadangan seperti berikut:
a) BANTUAN PENGANGKUTAN KEPADA PARA PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH YANG MENAIKI BAS ATAU VAN SEKOLAH
Pihak kerajaan patut memberikan subsidi kepada setiap pelajar yang menaiki bas sekolah. Subsidi ini akan dibayar terus kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah. Merujuk kepada berita berikut:
Noh yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno diminta mengulas laporan media pada Khamis bahawa Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) akan mengenakan caj tambahan antara RM10 hingga RM50 sebulan mulai Isnin ini, manakala Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur menaikkan harga perkhidmatannya sebanyak 35 peratus, berkuatkuasa serta merta.
Dalam laporan itu Pengerusi PPPBSM, Chee Ah Tey berkata 8,000 pengusaha bas bersetuju mengenakan caj tambahan itu, iaitu caj RM10 bagi perjalanan jarak dekat dan maksimum RM50 bagi perjalanan melebihi 30 kilometer, sementara menunggu kerajaan meluluskan tambang baru bas sekolah.
Kedua-dua perkembangan itu dijangka akan membebankan pengguna.
Rujukan: Bernama
Antara langkah-langkah yang kerajaan boleh lakukan ialah:
(i) Kerajaan akan menanggung tambang bas atau memberikan subsidi bagi sejumlah km pertama contohnya kerajaan menanggung tambang bas bagi 15 km pertama. Jika kediaman pelajar melebihi 15 km, lebihan harga tambang perlu dibayar oleh pelajar tetapi kerajaan akan memberikan sejumlah bantuan kewangan kepada mereka.
(ii) Kerajaan perlu membina sekolah-sekolah di kawasan-kawasan yang masih tidak mempunyai sekolah. Merujuk kepada berita di atas, saya agak terkejut apabila membaca masih terdapat para pelajar yang terpaksa berulang-alik sebanyak 30 km untuk ke sekolah:
maksimum RM50 bagi perjalanan melebihi 30 kilometer
Di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang rendah, sekolah rendah dan menengah boleh digabungkan dalam satu kawasan atau bangunan manakala kemudahan-kemudahan lain seperti dewan dan padang boleh dikongsikan. Saiz dan lokasi sesebuah sekolah tersebut seharusnya sesuai untuk menampung jumlah pelajar dalam 10-15 km radius. Apabila lokasi sekolah jauh dari rumah, para pelajar sudah merasa keletihan apabila tiba di rumah dan seterusnya tidak larat untuk mengulangkaji di rumah. Natijahnya, prestasi akademik mereka akan merosot.
(iii) Sesetengah kawasan di luar bandar juga yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan bas sekolah. Saya tahu terdapat pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Jerangau, Dungun, Terengganu yang terpaksa menunggu dari jam 1.30 petang (tamat masa persekolahan) sehingga jam 3 petang untuk menanti bas awam untuk pulang ke rumah masing-masing. Jadi dalam kes ini, pihak berwajib sama ada kerajaan nasional atau negeri boleh menyediakan bas atau van sekolah untuk kemudahan para pelajar.
b) BANTUAN PENGANGKUTAN KEPADA PARA PELAJAR SEKOLAH RENDAH, MENENGAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI YANG MENAIKI PENGANGKUTAN AWAM
Buat masa ini, hanya pelajar sekolah rendah yang berusia 12 tahun ke bawah diberikan potongan 50% apabila menaiki pengangkutan awam. Untuk mengurangkan beban kenaikan bahan api ini kepada ibu bapa, saya mencadangkan supaya potongan ini diberikan kepada semua pelajar dengan kadar yang berbeza iaitu para pelajar hanya perlu membayar kadar-kadar berikut:
- pelajar sekolah rendah: 50 % harga asal
- pelajar sekolah menengah: 60% harga asal
- pelajar tingkatan 6, matrikulasi dan peringkat sijil (pelajar pra-universiti): 67% harga asal
- pelajar universiti dan diploma: 75% harga asal
Untuk memudahkan pengurusan, syarikat-syarikat pengangkutan akan memperkenalkan pas bulanan kepada golongan para pelajar ini dan para pelajar perlu membeli pas bulanan tersebut di kaunter syarikat masing-masing setelah mengisi beberapa borang untuk membuktikan mereka adalah pelajar yang sah di sesebuah sekolah atau institusi. Pas bulanan khas untuk pelajar ini telah pun lama digunakan di United Kingdom, contohnya syarikat bas First Manchester di bandaraya Manchester.
Jika diandaikan harga pas bulanan untuk orang-orang dewasa ialah RM 60 (RM 2 sehari), jadi harga yang dibayar oleh pelajar sekolah rendah ialah RM 30, sekolah menengah (RM 36), pra-universiti (RM 40.20) dan pelajar universiti (RM 45).
Beza sebanyak RM 15 sebulan ini bagi pelajar-pelajar universiti akan dibayar terus oleh kerajaan sebagai subsidi kepada syarikat-syarikat pengangkutan awam.
Berdasarkan kajian saya, syarikat Rapid Penang telah memperkenalkan pas bulanan pelajar sebanyak RM 50 sebulan kepada pelajar yang berumur 7-18 tahun manakala syarikat Rapid KL pula hanya memberikan tambang pelajar kepada pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam sekolah.
Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat bas di bandar-bandar dan kawasan-kawasan lain?
c) BANTUAN PENGANGKUTAN KEPADA PARA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI YANG MENAIKI PENGANGKUTAN AWAM BAS EKSPRESS
Para pelajar sekolah menengah dan IPT yang lazimnya tinggal di asrama merupakan pengguna utama bas ekspress. Pada masa ini, mereka perlu membayar harga penuh (harga tiket dewasa) apabila menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Untuk membantu golongan tersebut, saya mencadangkan potongan harga turut diberikan kepada mereka:
- pelajar sekolah menengah: 60% harga asal
- pelajar tingkatan 6, matrikulasi dan peringkat sijil (pelajar pra-universiti): 67% harga asal
- pelajar universiti dan diploma: 75% harga asal
Walaupun begitu, disebabkan harga tiket bas ekspress yang jauh lebih mahal berbanding bas henti-henti dalam (b), para pelajar perlu membayar yuran keahlian pada kadar yang berpatutan (RM 20-30 setahun). Setelah mengisi borang keahlian, mendapatkan cop pengesahan dari institusi masing-masing dan membayar yuran keahlian, barulah mereka layak untuk menikmati potongan tersebut.
Contoh pengiraan dan penjimatan:
(A) Pelajar berasal dari Pulau Pinang dan sedang belajar di Kuala Lumpur
- Harga tiket bas Transnasional dari Terminal Bas Sungai Nibung, Pulau Pinang ke Hentian Puduraya KL sebelum 5/6/2008: RM 26.80 satu hala
Harga berdasarkan laman web berikut:
- Jangkaan kenaikan tambang bas: 10%
- Pelajar universiti berulang-alik dari KL ke Pulau Pinang sebanyak 8 kali dalam setahun.
- Harga kad keahlian pelajar: RM 30 setahun
Jumlah harga perjalanan (tanpa diskaun) = RM 26.80 x 1.10 (jangkaan kenaikan tambang bas) x 2 (pergi balik) x 8 (jumlah perjalanan setahun) = RM 471.68
Jumlah harga perjalanan (dengan diskaun) = {RM 26.80 x 1.10 x 0.75 (diskaun 25%, perlu membayar 75% sahaja) x 2 x 8} + RM 30 (yuran tahunan) = RM 383.76
Penjimatan tahunan = RM 471.68 - 383.76 = RM 87.92
(B) Pelajar berasal dari Johor Bahru dan belajar di Pulau Pinang
- Harga tiket bas Transnasional dari Terminal Bas Sungai Nibung, Pulau Pinang ke Hentian Larkin JB (transit di KL) sebelum 5/6/2008: RM 50.70 satu hala (PP-KL : RM 26.80, KL-JB: RM 23.90)
Harga berdasarkan laman web berikut:
- Jangkaan kenaikan tambang bas: 10%
- Pelajar universiti berulang-alik dari Pulau Pinang ke JB sebanyak 6 kali dalam setahun.
- Harga kad keahlian pelajar: RM 30 setahun
Jumlah harga perjalanan (tanpa diskaun) = RM 50.70 x 1.10 (jangkaan kenaikan tambang bas) x 2 (pergi balik) x 6 (jumlah perjalanan setahun) = RM 669.24
Jumlah harga perjalanan (dengan diskaun) = {RM 50.70 x 1.10 x 0.75 (diskaun 25%, perlu membayar 75% sahaja) x 2 x 6} + RM 30 (yuran tahunan) = RM 531.93
Penjimatan tahunan = RM 669.24-531.93 = RM 137.31
Penjimatan tahunan ini adalah jumlah subsidi yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat pengusaha bas.
Antara contoh syarikat bas yang memberikan diskaun kepada golongan pelajar ialah National Express, UK
Kerajaan perlu memberikan insentif-insentif khas kepada pihak syarikat-syarikat pengangkutan awam supaya memperkenalkan sistem potongan harga tambang kepada para pelajar seperti:
- diesel bersubsidi yang lebih murah
- alat ganti kenderaan yang lebih murah tetapi berkualiti tinggi
Saya mencadangkan syarikat-syarikat pengangkutan awam terutamanya syarikat-syarikat bas ekspress ini supaya bergabung di bawah satu konsortium utama sahaja supaya insentif-insentif daripada kerajaan ini lebih mudah untuk disalurkan. Selain itu, dengan penubuhan satu konsortium khas bas ekspress ini, terdapat banyak lagi faedah-faedah lain yang boleh dinikmati oleh para pengguna seperti:
- kad keahlian tahunan itu tadi boleh digunakan di mana-mana syarikat bas ekspress yang bernaung di bawah konsortium khas ini. Bandingkan dengan membayar yuran tahunan RM 30 setahun kepada satu konsortium sahaja berbanding membayar RM 30 kepada setiap buah syarikat bas yang beroperasi.
- para peniaga dalam bidang lain contohnya syarikat kedai buku, optometris dan lain-lain akan berminat untuk bekerjasama dengan konsortium khas ini untuk sama-sama mempromosikan produk mereka dan juga memberikan diskaun khas kepada pemegang kad keahlian tahunan ini. Konsepnya seperti kad keahlian Popular Bookstore juga boleh digunakan untuk mendapatkan diskaun di kedai-kedai lain yang bekerjasama dengan Popular.
- tambang untuk sesebuah perjalanan dan gaji pemandu juga akan lebih mudah diselaraskan antara syarikat-syarikat bas tersebut.
- jika berlakunya bas yang rosak atau ketiadaan pemandu, syarikat-syarikat bas boleh menggunakan atau meminjam bas dan pemandu dari syarikat lain untuk beroperasi. Dalam hal ini, para penumpang tidak perlu menunggu sehingga berjam-jam disebabkan ketiadaan bas atau ketiadaan pemandu. Selain itu, pemandu-pemandu bas juga boleh menggantikan pemandu bas daripada syarikat lain yang bercuti atau yang telah bertugas.
Berdasarkan akhbar The Star 10 April 2008,
PUTRAJAYA: Four hours and no more - this is the maximum hours of driving per stretch that the authorities are seeking to make mandatory for all bus drivers.
A recently-concluded study on driver fatigue revealed that ideally a person behind the wheel of a bus should not drive longer than the specified period or risk losing concentration.
Spurred by recent events of frequent bus crashes, the two-month study was conducted collaboratively by the Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros), Road Transport Department (JPJ), Road Safety Department and the police.
"Our findings are not just based on random information, but rather on scientific findings.
"The drivers in our test sample had to undertake a medical questionnaire and have their enzyme levels tested," he said, explaining that the lesser one's enzymes (which are practically protein), the less one's endurance.
Dr Radin added that a co-driver, required under law in a bus, may not get the amount of rest he or she needs sleeping on the bus.
Due to this, he said that a driver who on average drives eight hours a day, while sleeping the other eight hours on the bus, is actually working a total of 16 hours.
"It is completely different for a person to sleep on a bed and on a bus," said Dr Radin.
Jadi, untuk meningkatkan tahap keselamatan kepada para penumpang, para pemandu yang telah bertugas hendaklah berehat secukupnya terlebih dahulu sebelum kembali bertugas. Apabila konsortium ini ditubuhkan, kekurangan pemandu bas yang 'fresh' sekurang-kurangnya dapat diatasi kerana boleh meminjam pemandu bas yang 'fresh' dari syarikat lain.
- Jadual dan 'route' perjalanan dapat diselaraskan antara syarikat-syarikat. Contohnya jika selama ini, semua perjalanan bas ekspress dari Pulau Pinang ke Kuala Terengganu akan bertolak pada jam 9 malam dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.30 pagi. Dengan penggabungan ini, ada bas akan bertolak pada jam 9 malam, 10 malam dan 11 malam. Ini dapat memberi kebebasan kepada para pengguna supaya dapat memilih waktu yang sesuai dengan mereka.
d) ELAUN KHAS BUKU KEPADA PARA PELAJAR SEKOLAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Untuk mengurangkan bebanan ibu bapa di atas kenaikan harga bahan api, kerajaan boleh memberikan elaun-elaun buku kepada setiap pelajar supaya pelajar dapat membeli buku-buku latihan atau rujukan (bagi pelajar sekolah) dan buku teks bagi pelajar IPT. Harga buku teks yang digunakan di IPT agak mahal iaitu antara RM 50-100 bagi setiap buah.
Elaun buku ini hendaklah diberikan dalam bentuk baucar di mana baucar-baucar ini hanya boleh digunakan untuk membeli buku-buku sahaja. Jika diberikan dalam bentuk tunai, dikhuatiri pelajar-pelajar akan menggunakannya untuk tujuan-tujuan lain seperti menonton wayang, menukar telefon bimbit baru, berjoli dan sebagainya.
Saya mencadangkan kadar-kadar elaun buku tahunan seperti berikut:
- sekolah rendah: RM 50
- sekolah menengah: RM 100-200
- IPT: RM 300-500
KESIMPULAN
Saya berharap kepada kerajaan tak kira kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat supaya tidak melupakan kebajikan rakyat manakala bantuan yang hendak diberikan hendaklah menyeluruh iaitu semua pihak menerima bantuan tanpa mengira fahaman politik atau pun bangsa. Kenaikan harga bahan api yang drastik tanpa pengumuman awal mengejutkan rakyat. Rasanya rakyat akan lebih tenang sekiranya kenaikan dilakukan secara gradual dan diumumkan lebih awal. Masa kenaikan bahan api juga tidak sesuai kerana diumumkan semasa cuti sekolah di mana pada masa ini, rakyat Malaysia bercuti atau berjalan-jalan menziarahi kaum keluarga masing-masing di samping menghadiri kenduri-kenduri perkahwinan. Jika pengumuman dibuat lebih awal, rakyat dapat 'adjust' budget dengan lebih baik.
Subsidi-subsidi yang dicadangkan dalam artikel ini bolehlah diberikan oleh mana-mana pihak sama ada pihak kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Pada pendapat saya, subsidi bas dan van sekolah serta pengangkutan awam (cadangan a & b) boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri manakala cadangan c & d dilaksanakan oleh kerajaan pusat.
Wallahu'alam
Wassalam wbt
(c) MKMM 12/6/2008
http://mkmm79.blogspot.com/
P/s: sekiranya ada pembaca-pembaca yang mengenali rapat mana-mana ahli parlimen, boleh forward artikel ini kepada mereka supaya cadangan-cadangan ini dapat dibincangkan di peringkat tertinggi. Terima kasih.